Tuesday 3 September 2013

Musa layak tanding timbalan presiden


KOTA KINABALU: Bekas ahli parlimen Libaran, Datuk Akhbar Khan mencadangkan supaya Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno.
Katanya, kejayaan Musa mengurus Umno dan BN Sabah sehingga menjadi “fixed deposit” kepada kemenangan BN di peringkat pusat bukti beliau mampu mengurus negara.
“Oleh itu beliau layak menjadi timbalan presiden Umno,” kata beliau dalam satu kenyataan yang disiarkan di dalam sebuah akhbar nasional semalam mengulas kemungkinan Musa bertanding jawatan Naib Presiden Umno.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Politik Menteri Pelajaran berkata Musa tidak perlu tanding jawatan Naib Presiden Umno kerana jawatan yang paling sesuai buat beliau ialah Timbalan Presiden Umno.
Sementara itu Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad menyokong penuh Musa Aman bertanding merebut jawatan naib presiden, pada pemilihan parti akan datang.
Katanya, beliau yakin dengan kemampuan Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah dalam memperjuang dan memajukan parti.
“Kita memang tidak ragu (dengan kemampuan Musa) dan akan memberi sokongan penuh. Kita cukup yakin dengan kewibawaan yang ditunjukkan beliau,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Petronas Chemical Group (PCG) Bhd di Sipitang dua hari lepas.