Saturday, 30 March 2013

DUN N Sembilan terbubar, Najib PM paling takut bubar Parlimen


Najib gerun jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tempatnya di Putrajaya.
KUALA LUMPUR 28 MAC: Datuk Seri Najib Razak mencipta rekod pertama dalam sejarah negara sebagai Perdana Menteri yang membiarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar dengan sendirinya – Negeri Sembilan pada hari ini.
Dengan pembubaran itu, tinggal 11 negeri lagi, kecuali Sarawak dan Parlimen, yang masih belum dibubarkan.
Bermula hari ini, rakyat boleh mengira detik 30 hari sehingga tarikh pembubaran secara automatik bagi Parlimen Malaysia pada 28 April 2013.
Jika dalam tempoh ini tiada pembubaran Parlimen, Najib akan menjadi pemimpin negara pertama yang membiarkan Parlimen terbubar sendiri, setelah mandat lima tahun berakhir.
Penggal Parlimen ke-12 akan terbubar secara automatik pada 30 April ini. Dun Negeri Sembilan pula merupakan DUN pertama yang terbubar sendiri iaitu tengah malam tadi.
Selepas Negeri Sembilan, DUN yang akan terbubar secara automatik dalam bulan April adalah Pahang (7), Johor (21), Selangor (22). Diikuti Perak (24), Melaka (26), Kelantan dan Perlis (28), sementara Sabah (29).
Manakala Pulau Pinang dan Terengganu masing-masing akan terbubar pada 2 dan 5 Mei.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Sim Tze Tzin menyifatkan, penangguhan pembubaran Parlimen tunjuk Najib takut dan tidak yakin menang pilihan raya.
“Ini sejarah legasi Najib yang tidak pernah dibuat Perdana Menteri sebelumnya. Beliaulah PM paling lama tangguh bubar Parlimen,” katanya kepada Keadilan Daily.
Mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang mendakwa BN tidak gugup untuk membubar Parlimen, Sim berkata, ia sekadar untuk menyedapkan hati rakyat.
“Kalau tak takut bubar kenapa nak tunggu sampai lima tahun, ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara mahupun pemimpin BN terdahulu. Inilah buktinya Najib Perdana Menteri paling penakut.
“Dengan berakhirnya tempoh mandat lima tahun, rakyat boleh menilai sendiri kenapa perkara ini terjadi,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerejak itu.
Sim berkata, jika siri pilihan raya umum terdahulu, BN terlalu berani untuk bubar Parlimen kerana mereka yakin akan menang, tetapi kini perkara itu berlaku sebaliknya.
“BN sejak pilihan raya pertama hingga ke-12 begitu yakin mereka menang, tapi kali ini mereka cukup cemas, bimbang takut kalah.
“Najib umpama panglima perang yang takut untuk bertempur. Semakin ditangguh pembubaran Parlimen bertambah meluat rakyat,” katanya.