Saturday, 30 March 2013

Nurul Izzah nk buat semakan ke atas SPR




PETALING JAYA, 27 Mac — Nurul Izzah Anwar memfailkan semakan kehakiman ke atas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menggesa agensi tersebut membersihkan senarai daftar pemilih di kawasan parlimen Lembah Pantai.

Peguam mewakili MP Lembah Pantai tersebut, Edmund Bon hari ini berkata terdapat sekurang-kuranya 4,637 pengundi dengan alamat tidak lengkap, 133 pengundi bukan tidak menetap di Lembah Pantai, tiga pengundi meninggal dunia, jumlah keseluruhan 4,773 nama diragui, atau 7 peratus daripada 71,000 pengundi berdaftar dalam senarai daftar pemilih yang diwartakan dalam suku ketiga 2012.



"Di bawah Seksyen 25(2)(g) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya 2002 (Peraturan Pemilih), ketua pendaftar boleh, pada mana-mana masa, membuat pertukaran ke atas daftar pemilih," kata Bon pada sidang media bersama Nurul Izzah di ibu pejabat PKR hari ini.

"Bagaimana ketua pendaftar membenarkan mereka ini didaftarkan?

"Kami dengan ini mencabar kerana kegagalan untuk bertindak menguruskannya," tambah beliau yang merujuk kepada ketua pendaftar SPR.

Langkah mencabar di mahkamah diambil Nurul Izzah (gambar) selepas MP Klang Charles Santiago baru-baru ini tewas dalam usaha yang sama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menyemak semula daftar pemilih yang diwartakan di kawasannya.

Mahkamah memberitahu bahawa Seksyen 9(A) Akta Pilihan Raya 1958 menegah semakan kehakiman sebaik daftar pemilih telah diwartakan.

Bon menegaskan hari ini dalam semakan kehakiman Santiago, pemimpin DAP tersebut tidak menekankan tentang Seksyen 25(2)(g) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya 2002 (Peraturan Pemilih).

"Apabila kita menggunakan Peraturan 25(2)(g), kami menegaskan tindakan pentadbiran yang tidak dilakukan oleh ketua pendafar," kata peguam hak asasi manusia tersebut.

Bon berkata wujud kesamaran pengundi didaftarkan dalam daftar pemilih pada 2011 dan daftar tambahan untuk suku kedua tahun 2012.
Nurul Izzah dalam semakannya menamakan ketua pendaftar SPR sebagai responden pertama, dan SPR serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta kerajaan Malaysia sebagai responden bersama.

"Kerajaan pusat disaman dengan JPN kerana SPR berkali-kali menyalahkan JPN kerana tidak mengemaskini rekod," kata Bon.
Nurul Izzah berkata bahawa tambahan 2,000 pengundi dijangka akan didaftarkan dalam daftar pemilih Lembah Pantai bagi suku keempat tahun 2012, yang berjumlah kira-kira 73,000 pengundi.

"Kami mempunyai 50,000 pengundi pada 2008," kata naib presiden PKR itu.

Penyelidik pembangkang mendakwa terdapat puluhan ribu pengundi hantu yang didaftarkan pada daftar pemilih, termasuk Sabah dan Selangor, dua negeri utama yang mampu menentukan keputusan Pilihan Raya 2013.

SPR telah menafikan dakwaan tersebut, memberi alasan peratusan percanggahan yang tinggi dalam daftar pengundi adalah "normal".

Pilihan raya 2013, yang akan diadakan dalam masa beberapa minggu, dijangka menjadi pilihan raya yang paling sengit dalam sejarah dan penganalisis meramalkan pelbagai kemungkinan selepas buat kali pertama dalam sejarah pada 2008 kerajaan Barisan Nasional kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.