Wednesday 27 November 2013

Bil elektrik: Najib angkuh, hina rakyat miskin




KUALA LUMPUR 25 Nov: Kenyataan perdana menteri, Datuk Seri  Najib Razak mempertahankan bil elektrik di kediaman rasminya berjumlah RM2.2 juta setahun, disifatkan menghina rakyat miskin, tegas Rafizi Ramli.

“Najib lupa masih ada rakyat negara ini tidak menerima bekalan elektrik terutama di pedalaman. Kalaupun ada, mereka masih menggunakan lilin setiap kali bekalan elektrik terganggu waktu malam.
“Kenyataan ini sangat angkuh, tidak wajar dan satu penghinaan kepada rakyat miskin,” kata Pengarah Strategi KEADILAN itu ketika dihubungi.
Najib hari ini dilapor menyelar pihak yang mempertikaikan bil elektrik di kediaman rasminya di Seri Perdana dengan mengatakan “Bila presiden China datang, takkan nak makan dengan diterangi cahaya lilin”.
Sebelum ini KEADILAN mempersoalkan bil elektrik dan air kediaman rasmi PM dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin RM10 juta setahun.
Manakala kos penyelenggaraan bagi tempoh sama kedua-dua kediaman rasmi mereka RM49 juta setahun.
Sementara itu, Rafizi turut menyelar kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan di Parlimen kononnya kerajaan menjadikan pemotongan subsidi secara berperingkat sebagai kaedah menangani hutang negara yang kian melonjak.
Katanya, tanpa pemotongan subsidi, negara mampu menangani hutang dengan memotong perbelanjaan termasuk bayaran jutaan ringgit kepada perunding swasta, seperti didedah baru-baru ini.
“Jika perbelanjaan kerajaan berhemah, tidak rasuah, kita yakin subsidi bukan sahaja tidak perlu dipotong, malah boleh ditambah sekaligus harga barang boleh diturunkan khasnya harga minyak,” katanya lagi.
Sumber