Monday, 4 November 2013

Sapa Anjing,sapa Pencacai???



Akhir-akhir ini saya perhatikan kenyataan media Tony Pua sudah semakin kerap ditulis dalam Bahasa Malaysia. Ini buat saya hairan kerana selalunya Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ini menulis dalam Bahasa Inggeris, dan kemudian menghantar kenyataannya kepada media lewat tengah malam. Saat wartawan sudah mahu lena.
Jadi apabila saya lihat tulisan Tony Pua ini kerap ditulis Melayu, saya sedikit rasa seronok. Yalah, bukan selalu. Meski saya tidaklah tahu kenapa anginnya tiba-tiba berubah; dan saya tidak peduli pun sebenarnya. Yang penting dia giat menulis dan menggunakan Bahasa Kebangsaan.
Penggunaan Bahasa Kebangsaan ini adalah amat penting sebenarnya. Ada satu lagu dulu yang bunyinya ‘Bahasalah menyatukan kita semua, Yakinlah bahasa jiwa bangsa’. Justeru bagi saya kalau mahu kepada perpaduan dan kesejagatan, harus sepakat bahasa apa yang akan menjadi lidah perpaduannya.
Kalau DAP mahu menambat hati orang Melayu dan membuang persepsi ‘parti Cina’ yang sudah begitu sebati dengannya, politisinya tidak dapat tidak, mesti menggunakan Bahasa Malaysia secara ad nauseum; atau dalam bahasa yang mudah faham, sampai rasa macam nak muntah.
Namun sebenarnya kenapa Tony Pua kini giat menggunakan Bahasa Malaysia? Saya tidak rasa alasannya untuk menambat hati pengundi Melayu. PRU sudah habis.
Menyelak akhbar lidah rasmi United Malays National Organisation, si Utusan Malaysia hari ini (29 Oktober) saya temui rasional kenapa Tony kurang menggunakan Bahasa Inggeris kini.
Barangkali dia sudah malas disalah erti oleh golongan tak faham bahasa. Ya, itulah dia alasannya.
Utusan Malaysia sehingga ke hari ini masih lagi menyiarkan tuntutan orang entah siapa-siapa yang mahu Tony Pua meminta maaf kerana menggelar pihak Pendaftar Pertubuhan sebagai ‘running dogs’ UMNO. Kata ‘running dogs’ ini telah diterjemah entah bagaimana menjadi ‘anjing UMNO’.
Saya kecewa dengan tahap pemberitaan Utusan Malaysia ini yang hari demi hari kerjanya tiada lain selain membodohkan orang Melayu.
Melayu yang membaca laporan Utusan Malaysia akan jadi bodoh Bahasa Inggeris. Melayu yang jadi bodoh Bahasa Inggeris akhirnya akan menjadi orang biasa-biasa kerana tidak berpeluang kerja di tempat yang mengkehendaki pekerjanya mahir Bahasa Inggeris. Melayu spesis ini akan jadi tukang sorak untuk pertubuhan Melayu lain yang turut tidak faham Bahasa Inggeris.
Itulah, dulu bila orang suruh belajar Bahasa Inggeris; banyak cengkadak dia. Lari keluar daripada kelas, menyorok dalam tandas; segan nak cakap orang puteh. Kan dah kena tipu.
‘Running dogs’ ni adik, kakak, abang, pakcik, makcik; maksudnya ‘pencacai’. Seperti yang disebut P. Ramlee dalam filem ‘Tiga Abdul’. Meski digali di DBP pun tak ketemu kata ‘pencacai’ itu; inilah dia bahasa kita.
Tony Pua menyebut ROS itu ‘running dogs’ ertinya dia menyebut ROS itu pencacai UMNO-BN. Pencacai, seperti yang kita faham; membawa erti hamba, pesuruh, tukang buat dan yang sewaktu dengannya.
Kalau dulu tak ponteng kelas Bahasa Inggeris, tak terkejut sangatlah kan? Bukan ‘anjing berlari’, tapi sebenarnya ‘pencacai’.
Tak hairanlah Tony Pua sekarang buat kenyataan media dalam Bahasa Malaysia, supaya tak ada lagi pencacai UMNO di Utusan Malaysia sana yang terlebih bijak terjemah kenyataannya jadi benda yang bukan-bukan.
Silap-silap kalau dalam kenyataan media Tony Pua disebutnya dia mengalamai ‘running nose’ entah-entah diterjemah Utusan jadi ‘Tony Pua ada hidung berlari’ ketimbang terjemah yang betul iaitu ‘Tony Pua sedang selsema’. Dan Melayu tak pandai cakap orang puteh pun terus kena tipu. – Roketkini.com