Saturday, 2 November 2013

GST cengkam rakyat miskin, berpendapatan rendah

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah satu sistem percukaian yang telus, efisien untuk dilaksanakan bagi jangkamasa yang akan datang. Persoalannya, apakah Malaysia sudah bersedia? Saya mengambil maklum bahawa hanya 10% daripada ‘working population’ di Malaysia yang membayar cukai. Saya juga bersetuju supaya negara perlu mengurangkan kebergantungan di atas pendapatan daripada sumber petroleum dan gas yang hari ini menyumbang di antara 35%-40% daripada hasil negara.
gst-grafik-01Saya juga menyedari bahawa tax based kita adalah agak ‘narrow’. Maka satu reformasi sistem percukaian perlu digubal segera supaya ianya bersifat ‘broad based’ dan komprehensif bagi menggantikan Sales and Services Tax (SST) yang menyumbang 7% kepada pendapatan negara.
Namun saya juga mendesak kerajaan supaya mengamalkan fiscal disciplineyang ketat dan memotong Belanja Mengurus di setiap kementerian.
Di negara maju, falsafah perlaksanaan GST bukanlah untuk mencipta hasil baru atau meningkatkan pendapatan bagi negara tetapi adalah untuk memastikan satu sistem percukaian yang saksama dan menyeluruh. GST juga menjadi satu rangsangan kepada rakyat untuk meningkatkan simpanan serta tidak boros dalam berbelanja. Pendek kata, GST bertujuan to redistribute or diversify, and not increase the tax burden.
Kejayaan perlaksanaan GST di negara-negara maju adalah infrastruktur sistem percukaian yang kukuh di mana kadar cukai pendapatan dan kadar GST bergerak dalam arah bertentangan di mana apabila GST diperkenalkan pada satu kadar, kadar cukai pendapatan diturunkan untuk offfset bebanan GST.
Bajet 2014 mencadangkan bebanan GST dikurangkan atau off set dengan pemberian BR1M dan penurunan kadar minima ke atas cukai pendapatan.
Malaysia pada hari ini masih belum bersedia untuk perlaksanaan GST. Ini kerana lebih 40% rakyat mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM2,500 sebulan dan 80% daripadanya adalah orang Melayu dan Bumiputera. Sudah pasti, GST akan menekan golongan dalam kelompok berpendapatan rendah dan rakyat miskin.
Apabila saya membicarakan soal kemiskinan, saya tidak merujuk kepada golongan miskin tegar sahaja tetapi yang perlu diberikan perhatian adalah golongan yang mempunyai bebanan hutang yang tinggi termasuk ‘young workers, newly married couples’ dan juga mereka yang mempunyai tanggungan yang ramai.
FOMCA melaporkan sejumlah 47% pekerja muda di negara ini dibebankan dengan jumlah hutang yang begitu serius. Sementara itu, Kajian Pusat Pendidikan dan Penyelidikan Pengguna menyatakan lebih 30% daripada gaji golongan muda digunakan untuk membayar hutang sekaligus mengesahkan beban dan kesempitan hidup generasi muda dan rakyat secara keseluruhannya.
Selain daripada itu, perlaksanaan GST akan juga meningkatkan kadar inflasi yang akan mencengkam kehidupan rakyat yang berpendapatan sederhana dan rendah.
Hal ini bertambah serius apabila Bajet 2014 memotong RM7.29 bilion jumlah subsidi kepada rakyat. Langkah pengurangan subsidi ini akan menyebabkan kos produktiviti meningkat dan kuasa membeli atau ‘purchasing power’ rakyat semakin lemah. Kitaran ekonomi ini juga akan mengakibatkan kadar inflasi terus meningkat berkadaran dengan langkah perlaksanaan GST pada April 2015.
Persoalannya adakah kerajaan telah meneliti impak sosio ekonomi rakyat dengan perlaksanaan GST dan pemotongan subsidi rakyat? Penganalisa ekonomi mengunjurkan tahap inflasi akan meningkat sebanyak 2% apabila GST dilaksanakan. Jika perlaksanaan GST ini konsisten dengan langkah pemotongan subsidi yang diumumkan, maka dijangkakan kadar inflasi akan terus meningkat sehingga kadar 5% pada tahun 2015.
Ucapan Perbahasan Bajet 2014 Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Ahli Parlimen Gombak
Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa