Wednesday, 1 May 2013

Giliran Ahmad Idham pula bidas Norman KRU pasal tweet bodoh


Admad Idham (kiri) dan Norman Abdul Halim


PETALING JAYA: Penerbit album Norman Abdul Halim tetap mempertahankan kenyataannya menerusi Twitter dengan mendakwa industri hiburan negara ini akan hancur jika Pakatan Rakyat (PR) termasuklah PAS memerintah selepas Pilihan raya Umum ke 13 (PRU-13) nanti.

Norman berkata, tujuan dia menulis perkara itu adalah untuk membolehkan masyarakat membuka mata untuk melihat kelemahan PR dengan memberikan pendapat dalam Twitter berkenaan.

"Dengan kenyataan yang diberi, saya menerima banyak kritikan tetapi apa yang saya cakapkan sebenarnya adalah fakta, bukannya suka-suka atau mahu menakut-nakutkan orang.

"Jangan lihat industri seni ini pada satu sudut tertentu, lihat pada keseluruhannya. Perlu diingat industri kreatif berkembang dan ia sekali gus meningkatkan ekonomi negara.

"Apabila saya kata industri hancur jika PAS memegang negara adalah kerana tumpuan parti itu lebih untuk menjadi kerajaan khusus untuk Islam dan Melayu.
Twitter yang ditulis Norman pada Ahad lalu mengundang kritikan banyak pihak.


“Dengan dasar PAS yang sebelum ini sering menolak industri kreatif menerusi pengharaman pawagam di Kelantan dan Terengganu, ia sedikit sebanyak menghilangkan sebahagian sumbangan kepada ekonomi kita," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Dalam Twitter miliknya Ahad lalu Norman antara lain turut berkata pengeluaran filem dan muzik antarabangsa juga akan turut terjejas.

Komen Norman itu mendapat kritikan banyak pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan tersebut termasuklah penerbit filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang menyifatkan pandangan berkenaan sebagai cetek.

Norman yang juga Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) berkata, kelemahan PAS dapat dilihat berpandukan kepada isu-isu sebelum ini apabila pelbagai konsert telah diharamkan dan ia sekali gus menyekat perkembangan industri seni negara.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komen yang diberikan di Twitter bukan kerana mahu mengkritik mana-mana individu tertentu, sebaliknya dasar kepimpinan parti PAS.

"Orang yang tidak rasional sahaja yang tidak boleh menerima kenyataan saya itu. Lagipun saya cakap pun secara hormat dengan meminta maaf terlebih dahulu sebelum berkata-kata.

"Jangan salah ertikan maksud saya. Saya seorang beragama Islam tetapi bukan agama PAS," tegasnya.
Ahmad Idham pula menulis menerusi Twitter miliknya.


Pemikiran sempit

Mengulas kenyataan tersebut Ahmad Idham berkata selebriti-selebriti yang menganggap industri seni akan hancur dengan perubahan kerajaan adalah mereka yang memiliki pemikiran sempit kerana cuba mengaitkannya dengan hiburan.

"Saya tidak berpihak kepada sesiapa tetapi ingin menegaskan kepada para artis supaya tidak mengaitkan apa-apa perkara melibatkan politik dengan industri seni.

"Apabila ada yang menganggap industri seni akan hancur sebaik sahaja pemerintahan kerajaan bertukar tangan, ia adalah satu perkara yang mengarut.

"Bagi saya, industri seni kita mempunyai pendirian sendiri dan ia mampu berdikari walaupun sesiapa sahaja memimpin negara.

"Saya tak mahu ada pihak menganggap orang seni terlalu bergantung harap kepada kerajaan yang memerintah. Yang menjadi penentu filem saya laku atau tidak bukan menerusi kontrak kerajaan, tetapi para penonton yang menontonnya," katanya.

Tambah Idham lagi, dia yakin dengan memiliki produk filem atau muzik yang bagus, industri seni tempatan tidak akan tergugat sama ada kerajaan bertukar tangan mahupun tidak.

Dalam pada itu, Idham turut menasihatkan kepada para artis yang terlalu lantang bersuara berhubung hal-hal politik supaya mengkaji dahulu asal usul parti serta sejarah negara.

Katanya, jika komen yang diberi tanpa dibuat kajian, ia dikhuatiri mungkin boleh memberikan persepsi buruk kepada masyarakat yang akan menganggap artis tempatan mempunyai tahap pengetahuan yang cetek.

Sumber