PETALING JAYA 15 MEI: Ketua Polis Selangor, Tun Hisan Hamzah perlu menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah ekoran kenyataan bersifat perkauman.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan ke atas pimpinan Pakatan yang berucap di Himpunan Tolak Penipuan PRU 13 di Kelana Jaya, 8 Mei lalu tidak adil kerana tiada tindakan sama dikenakan terhadap Mohd Noor.
“Kenyataan bekas hakim tersebut lebih berunsur hasutan yang jelas menyebut tentang Melayu pantang dicabar, mengutuk kaum Cina malah mahu pembersihan kawasan dilakukan,” kata Saifuddin mengulas isu tersebut pada sidang media di ibu pejabat parti semalam.
Mohd Noor dalam kenyataannya menyeru agar Melayu bersikap lebih agresif demi mempertahankan kedudukan istimewa mereka.
Beliau turut menggelar masyarakat Cina sebagai mengkhianati semangat kawan bersama Melayu melalui kuasa politik.
“Ketua Polis Selangor perlu menyiasat Mohd Noor di atas kenyataan tersebut. Jangan bersikap berat sebelah. Rakyat sedang memerhati, lakukan siasatan dengan adil,” tegas Saifuddin.
Setakat ini, seorang dari 33 pimpinan Pakatan disiasat iaitu Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurut Saifuddin, Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dihubungi polis dan diminta ke balai untuk beri keterangan, bagaimanapun belum ada temu janji dilakukan.