Friday, 3 May 2013

Karpal sayang Mat Taib???




Bagi Karpal Singh, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Mohamad Mohd. Taib tidak layak diterima menjadi ahli PAS. Sebagai ahli PAS tentulah dia menjadi kerabat Pakatan Rakyat yang parti Karpal adalah tuan punya bersama PAS.

Pandangannya adalah kerana rekod lamanya dalam Umno dulu. Bagaimanapun komen Karpal itu ada atas kapasiti pribadinya, bukan sikap partinya.

Karpal berhak menyatakan pandangan seperti yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan kebebasan bersuara dalam demokrasi. Latar belakang undang-undangnya menyebabkan dia terpaksa sampaikan begitu.

Bagaimanapun PAS tidaklah perlu apolojetik apabila  menerima Tan Sri Mohamad sebagai ahli. Ajaran  Islam yang menjadi landasan perjuangan PAS membuka ruang kepada semua orang untuk bersamanya tanpa mempersoal  sangat pengalaman lama seseorang.

Firaun misalnya adalah sekejam-kejam pemerintah dalam sejarah manusia. Tetapi Nabi Musa AS datang mengajaknya kepada kebaikan. Tanpa mengira latar belakang Firaun, kiranya dia bersetuju menyertai Nabi Musa, maka segala kekejaman lampau Firaun itu dilupakan. Dia akan dikira sebagai orang baru.

Pada hari dia mahu bersama  Nabi Musa, bererti dia  meninggalkan  dunia lamanya. Dia berubah dari kezaliman kepada kehidupan yang adil dan hak.

Islam itu adalah agama pengampunan. Ia menerima sesiapa saja yang hendak berbuat baik dan mengampunkan segala kelemahan orang yang mula berbuat baik itu.

Firaun itu  lebih ranggi daripada iblis. Iblis tidak mengaku dirinya tuhan. Tetapi Firaun mengaku  dirinya tuhan. Pada Allah tidak ada kesalahan lebih besar daripada mengaku tuhan. Makhluk yang seteruk itu jika menerima seruan Nabi Musa, serta merta jadi orang sebersih bayi yang baru lahir, habis dosanya. Tetapi lazimnya orang  sejahat Firaun itu Allah tidak bagi hidayat untuk masuk kumpulan orang baik.

Dan yang menjayakan kenabian Rasulullah SAW itu ialah penyertaan sekalian orang jahat jahiliyah Quraisy. Jika Nabi Muhamad SAW menolak penyertaan orang-orang jahiliyah itu, maka baginda seorang sajalah yang Islam. Islam yang dibawa oleh baginda itu adalah tempat semua orang untuk berbuat baik.

Atas ajaran itu PAS sebagai parti yang berasaskan Islam menerima siapa saja daripada Umno, bahkan orang jahat yang bukan Umno juga diterima. Jika Dr Mahathir yang dikira seteruk-teruk Umno, jika  dia mohon masuk PAS, maka PAS terima.

Jika selepas masuk, dia tidak berubah, meneruskan juga sistem Umno itu, masih seronok juga dengan kisah-kisah lamanya , maka dia boleh dipecat. Tetapi tidak boleh  dipertikai niat dia mengapa dia masuk PAS.

Dan PAS yang bergerak siang malam selama ini adalah untuk menarik orang Umno menyertainya. Tidak menang PAS kiranya orang Umno tidak menyertai PAS beramai-ramai. Siapa lagi hendak meramaikan PAS kiranya tidak orang Umno yang ramai itu.

Memang ramai juga dalam PAS sekarang, asalnya orang Umno. Malah peranan mereka bagi menentang  Umno lebih agresif daripada setengah orang PAS.

Pak Yazid Jaafar, pernah menjadi pendakwah bebas di Kuala Lumpur, asalnya adalah aktivis Pemuda Umno zaman Pemuda tahan lasak yang berdengung anti-PASnya. Apabila dia menyertai PAS dia seorang Islam dan PAS yang komited dan disukai  ramai.

Yang berjaya menjadikan dia daripada seorang Umno yang  bengis kepada seorang yang diundang berdakwah di merata-rata ialah PAS. PAS itu bukan sekadar sebuah parti politik tetapi ia juga adalah kilang menukar Umno yang nakal kepada orang PAS yang baik dan beradab. Kiranya kita tolak penyertaannya, maka kekallah dia sebagai orang yang tidak berubah.

Sumber