Wednesday 1 May 2013

Kertas undi keluar dua kali, PAS lapor polis






TEMERLOH: PAS Kawasan Temerloh hari ini membuat laporan polis berikutan berlaku pengeluaran kertas undi dua kali kepada tujuh pengundi pos yang merupakan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh.

Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Temerloh, Hassan Omar berkata, akibat pertindihan nama daripada senarai pemilih undi pos itu, pihaknya mengsyaki boleh berlaku manipulasi termasuk di kawasan-kawasan lain seluruh negara.

Beliau yang ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Temerloh berkata, PAS Temerloh membuat laporan polis mengenai ‘penipuan’ tersebut mendesak satu siasatan rapi kerana jika dibiarkan akan menyebabkan pengundian berganda bagi seseorang pengundi.

“Kejadian ini disedari agen calon PAS bagi Parlimen Temerloh, Roslan Ahmad, pada tengahari 23 April lalu semasa terlibat menjadi wakil calon ketika proses pengeluaran kertas undi pos.

“Roslan seorang yang berpengalaman dan berjaya mengesan pertindihan nama tujuh pemilih dan mendesak supaya dibatalkan tujuh nama tersebut daripada menerima kertas undi pos kedua,” ujarnya.

Hassan berkata, PAS juga mendesak polis menyiasat sistem pengkalan data SPR yang mungkin terdapat percubaan untuk menipu dan pecah amanah dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13 ini.

Beliau juga mendesak, supaya sistem undi pos dikaji semula dan dihapuskan sama seperti tuntutan NGO Bersih, kerana wujudnya ruang-ruang tidak adil, boleh dimanipulasi dan berat sebelah dalam sistem demokrasi.