Friday, 5 April 2013

Ada penglibatan politik ‘luar biasa’ di Lahad Datu- bekas Jeneral ATM


Bekas jeneral

KUALA LUMPUR 31 Mac: Bekas Ketua Turus Angkatan Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein membayangkan wujud penglibatan politik luar biasa dalam operasi pasukan keselamatan dalam menangani pencerobahan pengganas Sulu di Lahad Datu.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat KEADILAN tengah hari tadi, beliau berkata, ada sesuatu yang tidak kena dalam cara kerajaan menangani konflik itu.
“Sebagai seorang yang berlatarbelakangkan profesion tentera, saya lihat peristiwa di Lahad Datu membayangkan ada penglibatan politik yang luar biasa dalam operasi yang sedang dijalankan,”
“Pertama, kita ada panglima (ATM) di Sabah, ada dua markas tentera di sana. Jadi kalau kita lihat dari segi ‘Command and Control’, tugasan (di Lahad Datu) patut diserah kepada mereka.
“Ini kerana mereka lebih arif dengan keadaan tanah, jalan dan kawasan yang mungkin terdedah kepada ancaman,” katanya.
Namun, Md Hashim berkata, pasukan yang dikerah pada peringkat awal di sana kebanyakannya dari semenanjung Malaysia.
“Pada awalnya di Kampung Tanduo, unit khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Semenanjung yang ditugaskan,” katanya lagi.
Tambahan pula, bilangan penceroboh yang masuk ke Lahad Datu tidaklah terlalu ramai dan pasukan keselamatan yang sudah ada di sana sepatutnya dapat menghadapinya.
“Kenapa kita tugaskan pemerintahan tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM untuk pergi ke sana?
“(Jadi) inilah yang saya lihat tidak kena (dalam cara kerajaan tangani insiden Lahad Datu),” katanya lagi.
Menurut Bernama, sehingga kini, jumlah pengganas Sulu yang ditembak mati adalah 67, manakala jumlah tahanan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berjumlah 111 orang.