Wednesday, 17 April 2013

Rafizi mahu saman Papagomo isu fitnah perletakan jawatan Petronas


Rafizi lagi

PETALING JAYA 15 APRIL: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli akan saman Papagomo berikutan penyiaran artikel fitnah mengenai rekod kerjayanya di Petronas.
Blogger Umno itu pada 11 April lalu dalam lamannya menuduh Rafizi dipecat dari Petronas kerana masalah disiplin.
“Ini bukan pertama kali laman Umno tersebut menyiarkan berita-berita memfitnah saya tanpa sebarang asas,” tegas Rafizi.

Katanya, saman Papagomo itu perlu kerana beliau berkait rapat dengan Umno yang menyerangnya secara politik.
“Strategi Umno adalah melalui Papagomo dan mereka saling berkait rapat. Ini bukan serangan peribadi tetapi serangan politik sebab itu kita perlu saman,” jelas Rafizi pada sidang media di ibu pejabat parti, hari ini.
Rafizi menerusi blognya menjelaskan situasi sebenar bahawa beliau tidak pernah dipecat, sebaliknya meletak jawatan dari Petronas untuk bertukar kerjaya.
Melalui peguam Razlan Jalaluddin, Rafizi akan menghantar notis tuntutan dalam waktu terdekat bagi memulakan proses undang-undang.
“Hanya dengan cara ini, kita akan berjaya membendung budaya fitnah yang sudah menjadi amalan harian blogger Umno,” kata Rafizi. – NS