Tuesday 16 April 2013

PRU13: Calon dari Pemuda PAS isytihar harta

KUALA LUMPUR: Sembilan daripada 20 bakal calon Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) dari kalangan pemimpin Dewan Pemuda PAS Malaysia menandatangani borang pengisytiharan harta.

Tindakan itu sebagai susulan komitmen Pemuda PAS ketika mengumumkannya di dalam Muktamar PAS November tahun lepas.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, PAS dan Pakatan Rakyat mengalu-alukan usaha Pemuda PAS sebagai platform bagi melahirkan pemimpin yang berintegriti dan bebas rasuah.

"Di sini kita memulakan satu perkara baru untuk memperlihatkan orang ramai soal integriti. Mereka yang terlibat khasnya wakil parlimen dan Dun yang diamanahkan mestilah mendapat habuan yang sepadan dengan jawatan dan tugas mereka. Tidak lagi mengaut kekayaan semasa memegang jawatan," katanya.

Malah katanya, Pakatan Rakyat dialu-alukan memulakan sebagaimana yang diketengahkan oleh Pemuda PAS sekali gus akan mengangkat martabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Di bawah pemerintah Pakatan Rakyat tidak akan berlaku apa yang dibuat oleh Umno hari ini, mereka yang berkuasa akan diangkat, kita serah kepada mereka yang berhak," katanya dalam sidang media di Pusat Media PAS di sini hari ini. (Gambar atas)

Sembilan bakal calon Pemuda PAS yang telah menandatangani borang pengisytiharan antaranya Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan, Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan Khairil Anuar Abd Wafa, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Yusni Mat Piah dan Setiausahanya Afnan Hamimi Taib.

Manakala empat bakal calon lagi menurunkan tandatangan dihadapan Mohamad Sabu iaitu Setiausaha Dewan Pemuda Khairul Faizi Ahmad Kamil, Exco Pemuda Pusat Abang Ahmad Kardee Abang Masagus dan Ahmad Zamri Asa'ad Khuzami serta Ketua Pemuda PAS Melaka Yuhaizad Abdullah.

Menurut Khairul Faizi, selebihnya bakal calon Pemuda PAS ini akan menandatangani borang pengisytiharan harta secara berperingkat sebaik sahaja mereka disahkan akan bertanding dalam PRU13 nanti.



BGO nak tengok, ada tak calon UMNO,MCA,MIC dan tak lupa PKR dan DAP untuk turut sama buat pengisytiharan harta untuk menunjukkan yang mereka telus dalam agenda berkhidmat untuk rakyat...Syabas kepada pemuda PAS yang menjadi pelopor.