Tuesday 2 April 2013

AG, Ahmad Said hina keputusan mahkamah- Khalid




Saya amat kesal kerana bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Seri Ahmad Said Hamdan dan Kerajaan Malaysia sanggup menghina mahkamah apabila gagal, enggan dan ingkar perintah mahkamah yang dimeterai secara persetujuan pada 19 Mac lalu.


Antara terma persetujuan yang direkodkan di hadapan hakim Yang Arif Dato’ Lau Bee Lian ialah Ahmad Said melafazkan permohonan maaf di mahkamah terbuka dan menyiarkan permohonan maaf tersebut di muka depan dua akhbar harian berbahasa Inggeris, New Straits Times dan The Star dalam tempoh empat (4) hari dari tarikh tersebut.
Walaubagaimanapun, Ahmad Said, SPRM  dan  Kerajaan Malaysia bersikap liar dan tidak bertanggungjawab apabila dengan sengaja tidak menunaikan perintah tersebut dalam tempoh empat hari seperti yang diarahkan mahkamah. Mereka sehingga hari ini masih gagal melaksanakannya walaupun peguam saya telah menuntut defendan berbuat demikian.
Ahmad Said, SPRM dan Kerajaan Malaysia secara terang-terangan telah menghina mahkamah kerana dengan sengaja tidak mematuhi dan menghormati perintah mahkamah.
Sikap melampau kedua-dua defendan ini bertujuan menghina saya secara berterusan selaku mangsa kepada kata-kata berunsur fitnah.  Tindakan defendan ini selari dengan sikap kerajaan Umno-BN yang telah memperkotak-katikkan badan kehakiman Malaysia. Mengingkari perintah mahkamah dilakukan tanpa sedikit pun rasa kesal kerana beranggapan kedudukan mereka mengatasi undang-undang di negara ini.
Sehubungan itu, saya telah mengarahkan peguam, Sankara Nair untuk memulakan satu prosiding penghinaan mahkamah terhadap Ahmad Said, SPRM dan Kerajaan Malaysia serta apa-apa tindakan yang difikirkan sesuai dan setimpal dengan penghinaan yang dilakukan pihak defendan.
YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=48655