(Perutusan calon KEADILAN Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin sempena Ulang Tahun Melaka Bandar Bersejarah)
Sejarah adalah cukup sinonim dengan negeri Melaka. Sejarah kegemilangan Melaka sering diulang sebut oleh masyarakat umum di Malaysia. Duarte Barbosa yang mengiringi Ferdinand Magellan pernah mencatatkan bagaimana ekonomi Melaka begitu makmur sehingga dikatakan “siapa yang menguasai Melaka, mereka menguasai dunia.” Dicatatkan juga sebanyak 84 bahasa dituturkan pada waktu itu.
Rakyat Melaka juga seharusnya berbangga apabila Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan Malaysia memilih negeri bertuah ini untuk diisytiharkan tarikh kemerdekaan Negara.
Semua ini adalah fakta sejarah yang penting kerana di sebaliknya terkandung banyak nilai-nilai luhur yang mesti bersama kita pelihara.
Pertama, kegemilangan Melaka tidak akan kekal sekiranya kita mengambil nilai yang salah dengan menganggap kepimpinan adalah satu keistimewaan, bukan amanah yang menuntut pertanggungjawaban.
Kedua, masyarakat Melaka sudah lama hidup secara kosmopolitan – masyarakat berbilang bangsa dan kepercayaan tetapi saling memberikan yang terbaik untuk manfaat semua.
Ketiga, kerukunan hidup bermasyarakat seringkali diuji oleh fitnah dan adu domba golongan yang kemaruk mahu terus berkuasa. Nilai setia dijadikan dalih untuk menghalalkan kezaliman dan kejahatan.
Keempat, negara ini merdeka dengan semangat federalisme di mana kedaulatan dan kuasa-kuasa negeri tetap ada. Dalam Pemashoran Kemerdekaan yang dibacakan oleh Allahyarham Tunku kemudiannya, beliau menegaskan kepentingan nilai kebebasan dan keadilan dalam sistem negara demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
Inilah iktibar yang harus kita selaku rakyat masa kini khususnya generasi muda ambil sebagai pengajaran. Negara akan terbina dengan siasah yang tulus serta mendahulukan rakyat, dan negara juga akan mudah jatuh hanya dengan kebusukan politik bagi mereka yang rakus dan bobrok moral.
Usai 55 tahun merdeka, 5 Mei 2013 akan menyaksikan rakyat kembali ke lapangan demokrasi untuk memilih. Dan wajar sejarah baharu ditempa agar Melaka tidak mencatatkan kejatuhan sebagaimana yang dialami pada tahun 1511. Budaya ‘Si Kitul & Raja Mendeliar’ harus ditalkinkan untuk merencana wacana politik yang segar dan sihat.
Menginsafi peristiwa inilah KEADILAN dan Pakatan Rakyat menampilkan sesuatu untuk merealisasikan harapan rakyat. Harapan yang tidak ditiru dan di-plagiat, sebaliknya harapan tulen lagi absah. Barisan kepemimpinan yang ditawarkan untuk negeri Melaka dan Malaysia adakan antara yang terbaik untuk menghasilkan masa depan yang lebih cerah.
InshaAllah, 5 Mei akan mencatat satu sejarah baharu, dan kami, Pakatan Rakyat, terus menjamin kepimpinan berkualiti untuk memimpin Malaysia dan Melaka ke arah negara yang adil, demokratik dan madani.