Friday 5 April 2013

Perisik negara diguna untuk politik BN – Lef Jen Ghafir



(Oleh Arif Juhani)
KUALA LUMPUR 1 APRIL: Kegagalan agensi perisikan negara mengesan awal pencerobohan di Lahad Datu, Sabah akibat campur tangan politik BN yang keterlaluan, kata mantan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ghafir Abdul Hamid
Menurutnya, jika anggota perisikan menumpukan kepada usaha mengesan lebih awal kemasukan penceroboh dari negara luar, insiden di Lahad Datu dapat dielakkan serta tiada nyawa terkorban.
“Perisik yang sepatutnya berfungsi untuk negara diperalatkan untuk politik sempit Umno BN. Saya tegaskan insiden ini bukan salah tentera dan polis tetapi penyalahgunaan aset perisikan untuk politik Umno BN.
“Perisik digunakan mencari maklumat untuk penerbitan risalah menghina seteru politik. Saya yakin, ramai blogger anti Pakatan Rakyat terdiri daripada perisik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Forum Tragedi Lahad Datu: Rakyat Berhak Tahu di Stadium Malawati, Shah Alam, malam tadi.
Ditanya apa akan dilakukan jika diminta mengetuai operasi tersebut, kata Ghafir, beliau akan pastikan semua ahli politik tidak mencampuri tugasan berkenaan.
“Mereka inilah yang mengganggu kerja anggota keselamatan dengan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan realiti semasa.
“Kebanyakan Menteri Pertahanan tak layak pun bercakap soal keselamatan kerana ini bukan bidang kepakaran mereka,” ujarnya.
SB gagal kesan pencerobohan
Sementara itu, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari berkata, jika insiden pencerobohan itu mengikut modus operandi perisikan yang betul, tidak mungkin pengganas mampu bolos sempadan perairan Pantai Timur Sabah dengan bilangan ramai sekaligus.
Katanya, unit perisikan polis atau dikenali sebagai Cawangan Khas (SB) merupakan jabatanpaling cekap mencari maklumat yang berpotensi menggugat keamanan negara.
“Untuk memasuki kawasan perairan, beberapa tapisan dikendalikan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin dan Kastam perlu dilepasi. Bagaimana SB gagal mengesan usaha pencerobohan ini?” kata Fauzi.
Tambahnya, walaupun kerajaan mendakwa kumpulan pengganas terlibat berjaya ditumpaskan, namun secara akauntabiliti, Malaysia tetap gagal kerana tindakan yang lambat mengakibatkan nyawa anggota keselamatan terkorban.
Pengerusi Majlis Rundingan Keselamatan Tentera KEADILAN, Brig Jen (B) Datuk Abdul Hadi Al-Khattab pula berkata, penggunaan jet pejuang untuk mengebom pengganas di Lahad Datu tindakan tidak wajar.
“Patutkah jet pejuang digunakan terhadap kumpulan pengganas yang berjumlah ratusan orang sahaja?
“Lebih wajar kalau helikopter bersenjata sahaja digunakan kerana skala jet pejuang bukan digunakan untuk serangan terhadap sekumpulan musuh,” katanya.
Beliau turut mempersoal penggunaan kapal terbang tambang murah untuk menghantar anggota keselamatan ke Lahad Datu kerana berpendirian tentera perlu menaiki pesawat dilengkapi peralatan perang.
Forum tersebut dipengerusikan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.
Hadir sama, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke; Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari dan Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail. – NS