Saturday, 20 April 2013

Video Lucah : Saya hampir jadi mangsa - Aishah





KOTA BHARU: Penyanyi Aishah (gambar) atau nama penuhnya Wan Aishah Wan Ariffin mendakwa beliau hampir menjadi mangsa perbuatan jahat musuh politik PAS apabila rumahnya ditebuk atapnya untuk dipasang kamera.

Namun nasib menyebelahinya dengan cara ia disedari lebih awal apabila atas rumahnya bocor apabila ditimpa hujan.

Ekoran itu, beliau menyedari bumbung bahagian bilik tidurnya dikorek dipercayai untuk memasang kamera CCTV.

“Syukur alhamdulillah, Allah memelihara kita, Allah sentiasa bersama kita, begitu juga dalam kes Datuk Mustapha Ali, insyaallah, Allah akan memberi petunjuknya nanti,”ujar Aishah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian penyebaran video tidak bermoral Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapha Ali, yang kini menjadi bulan hangat di seluruh negara semalam.

Sebelum itu beliau menyampaikan ceramah di Dun Tawang, Bachok dekat sini bersama Adunnya, Ustaz Hassan Mahmod.

Bagi Aishah, sesiapa sahaja yang berada bersama PAS termasuk Pakatan Rakyat akan menjadi mangsa politik kotor pihak lawan sebagai modal akhir untuk mempertahankan hayat.

Artis yang juga calon PAS Jempol Negeri Sembilan itu berkata, ianya dijangka ‘bom’ hayat untuk menyelamatkan parti pemerintah sebelum ini untuk berhadapan dengan pihak lawan yang semakin mendapat sokongan rakyat.

Tambahnya, sedangkan tindakan begitu juga akan menjadi senjata ‘makan diri’ kerana akhirnya akan terpalit terkena diri.

Beliau yakin rakyat tidak akan menelan fitnah itu mentah-mentah kerana mereka telah sedar dan cerdik untuk terus bermimpi dengan permainan fitnah.

Jelasnya, mentaliti rakyat Malaysia bukan lagi di zaman dunia ketiga, mereka sekarang berpendidikan tinggi, paling besar pendidikan agama.

“Pihak lawan tidak perlu buat sesuatu perkara yang cukup jijik sekiranya sedar mereka adalah sebuah parti yang baik serta mampu membela rakyat.

“Tidak perlu takut, sebaiknya dedahkan apa yang ingin kita buat dan kejayaannya juga, bukan berterusan menekan pihak lawan dengan fitnah yang mengaibkan, kerana keaiban itu akan menikam diri kita juga,”ujarnya.

Dun Tawang adalah tempatnya yang terakhir untuk menyampaikan ceramah sebelum pulang menumpukan perhatian di Parlimen Jempol.

Sepanjang seharian beliau berada di Kota Bharu, Aishah turut mendapat sokongan dan doa restu dari rakyat di negeri itu apabila bertemu dengannya untuk membeli belah di Bazar Buluh Kubu.(harakahdaily)  </