Saturday, 20 April 2013

Nik Aziz kritik ‘kebebasan media’ ala BN

SHAH ALAM, 15 April — PAS mengkritik kebebasan media yang dilaungkan Barisan Nasional (BN) kerana mereka seolah-olah memaksa rakyat untuk mengundi parti pemerintah itu tanpa memberi peluang kepada rakyat untuk menilai pembangkang.
Mursyidul AM PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan langkah BN berkempen menggunakan seluruh saluran media arus perdana itu juga umpama memaksa rakyat untuk mengundi mereka, sedangkan pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR) tidak diberi peluang melakukan perkara sama.
“Pilihan raya lain ... ini paksaan raya. Rakyat Malaysia dipaksa memilih mereka kerana rakyat hanya diberi melihat media mereka,” kata veteran PAS itu ketika pelancaran bukunya di program “Bicara Cinta: Bicara Ini Demi Ilahi” di Kompleks Karangkraf di sini.
“Ini bukan demokrasi, ini komunis ... kenapa rakyat tengok TV, radio kamu sahaja.
“Nak mengundi, mengundilah, tapi jangan paksa rakyat pilih kamu,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Beliau yang sebelum ini merupakan menteri besar Kelantan itu juga turut berkata PAS akan membenarkan DAP bertanding menggunakan lambang parti berkenaan sekiranya rakan komponennya itu mempunyai masalah dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
“Kalau DAP diharamkan ROS, kita benarkan dia bertanding pakai lambang bulan,” katanya merujuk kepada bendera rasmi PAS.
DAP sebelum ini telah disiasat berhubung dakwaan penyelewengan ketika pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.
Pengerusi DAP Karpal Singh juga sebelum ini menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan terdapat masalah teknikal pada pemilihan parti itu tetapi tidak ada penipuan dan salah tanggapan sebagaimana dakwaan pihak-pihak tertentu.
Dua pemimpin DAP, Pooi Weng Keong dan Dr Ong Kian Meng juga telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada ROS.